Persidangan: Oasis International Conference on Islamic Education 2014

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillahi rabbil 'alamin, setinggi-tinggi pujian buat Allah Pencipta Sekalian Alam. Dengan izin dan rahmat-Nya, Al Amin Edu Oasis telah menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa yang diberi nama: OASIS INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC EDUCATION 2014 (OICIE2014). Persidangan yang merupakan persidangan kali pertama anjuran Al Amin Edu Oasis ini telah diadakan pada 5 November 2014 bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC, Kuala Lumpur. 

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Zakaria bin Kasa, Naib Cansellor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ia turut dihadiri oleh Prof. Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan (Pengarah Akademi Pendidikan, UPSI) dan Prof. Dr. Rosnani Hashim (Dekan Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) sebagai Pemberi Ucaptama bagi Sesi Satu dan Sesi Tiga. 

Di samping itu, persidangan ini turut dihadiri oleh wakil Jaringan Sekolah Islam Terpadu (JSIT), Indonesia: Bapak Sapto Sugiharto Soedarto, Pengerusi IKRAM-MUSLEH: Prof. Dr. Omar Yaakob, wakil MRSM Gemencheh: Encik Zakpar Mahput, Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad: Tn Hj Shaharom Md Shariff dan Ketua Jabatan Bahasa Arab, Madrasah Al-Irsyadiyah Al-Islamiyah, Majlis Ugama Islam Singapore: Ustaz Idham Halid Romli.

Manakala para peserta pula terdiri daripada pelbagai latar belakang wakil sekolah dan institusi antaranya, sekolah-sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH, Sekolah Islam Adni, SBPI Rawang, SMA Persekutuan Kajang, Nilai Academy Sdn Bhd, IPG Kampus Kota Bharu dan pelbagai lagi. 

Di antara beberapa objektif yang telah digariskan ialah:

i) Mengenalpasti perkembangan baru bagi masa depan Pendidikan Islam

ii) Meneliti pendekatan Pedagogi Islam yang terkini

iii) Mencadangkan inisiatif utama bagi pelaksanaan Pendidikan Islam pada masa hadapan

iv) Sebagai wadah perbincangan bagi pengamal pendidikan dari pelbagai institusi di samping mengembangkan rangkaian masing-masing

Seluruh warga kerja OICIE2014 merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan persidangan ini khususnya buat para penaja iaitu: Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB), CERT Event Sdn Bhd, Al-Ameen Edu Niaga Sdn Bhd, Irshad Consultant Sdn Bhd, Telaga Biru Sdn Bhd, dan Rampai Caterer. Tidak lupa juga buat tenaga kerja OICIE2014 yang telah bertungkus lumus memastikan kejayaan program ini. Semoga rahmat Allah mendampingi kita semua, insha Allah.

gambar

TOP